![]() |
| Pastikan yg terbaek di dunia utk akhirat... |
Keyakinan kepada Hari Akhirat sangat penting ketika hidup di dunia. Itulah prinsip yang menjadikan manusia mampu melaksanakan kebaikan walaupun sekiranya tidak mendapat penghargaan atau ganjaran. Dan itulah juga penghalang untuk tidak melakukan kejahatan sekalipun terlepas daripada undang-undang dan pemerhatian orang. Justeru, dunia tidak adil. Acapkali orang baik ditindas dan dizalimi. Manakala orang jahat pula yang disanjung dan dipuja.
Apakah kerana dunia tidak adil kita akan berhenti melakukan kebaikan? Tidak. Orang beriman akan terus membuat kebaikan kerana yakin adanya Hari Ahirat. Di sana setiap kebaikan pasti mendapat balasan. Apa yang lebih diharapkan adalah ganjaran akhirat bukan keuntungan dunia. Hidup di dunia adalah untuk ‘menanam’ pohon kebaikan sebanyak-banyaknya. Insya-Allah di akhirat nanti akan dituai hasilnya.
Orang beriman celik mata hati. Syurga, pahala, keredhaan Allah dan pengampunanNya jelas tertera di ruang hati. Mereka rela rugi, dicaci dan menderita di dunia yang sementara demi mendapat ganjaran, pujian dan kesenangan di akhirat yang abadi. Dunia ini dirasakan ladang tempat bercucuk tanam. Justeru, mereka adalah orang yang paling sibuk berkerja di dunia. Mereka sentiasa aktif dan produktif. Ya, kecintaan kepada syurga tidak bermakna meminggirkan dunia!
Sebahagian besar manusia, RABUN JAUH… hanya nampak kehidupan dunia. Akhirat seolah-olah tidak ada. Memburu kenikmatan dan kesenangan dunia tanpa memikirkan soal halal dan haram. Menipu, rasuah dan mengambil hak orang lain dengan penuh kelicikan dan tipu daya. Undang-undang dan peraturan dunia dimanupulasi dan dieksploitasi dengan bijaknya. Mengumpul harta sebanyak-banyaknya seolah-olah ingin hidup selama-lamanya di dunia.
Ada pula golongan manusia yang punya hati RABUN DEKAT.. Mereka tidak mampu melihat dunia ini sebagai kebun akhirat. Dunia ini dirasakan bangkai yang busuk dan menjijikan. Lalu mereka menjauh dan membenci dunia. Kononnya hati mereka di akhirat tetapi terlupa bahawa kakinya masih menjejak dunia. Mereka ingin menyeberang tanpa jambatan, memburu matlamat tanpa alat… ingin memancing ikan tanpa umpan!



No comments:
Post a Comment